PERMAINAN
RIBA: DURI DALAM DAGING
HAMPIR tiga dekad; baru kini timbul kesedaran peri penting muamalat konsep Islami buat
saya. Tidak dinafikan sistem muamalat konvensional dari barat begitu teratur
dan mudah jika dipandang pada luaran. Nah, mengapa perlu kita ubah sistem sedia
ada sedangkan kita memang sudah sekian lama hidup damai bercinta dengan sistem
muamalat konvensional kini?
Muamalat
punyai makna yang besar. Segala perkara yang tergolong dalam bidang
kemasyarakatan adalah muamalat – prpm.dbp.gov.my. Dan perkongsian dalam makalah
ini saya khususkan kepada muamalat maliyyah,
iaitu pengurusan harta sesama manusia. Maka, segala hal berkaitan perbankan,
perniagaan, saham dan insurans adalah antara contoh muamalat maliyyah. Terlupa pula, MLM dan FOREX
tidak terkecuali ya.
Dalam
muamalat, kita disajikan dengan urusan kewangan bersifat konvensional dan
Islam. Harus diketahui bahawa kedua-dua sistem ini tidak pernah sejalan antara
mereka. Sistem konvensional secara dasar hanya memikirkan dapatan keuntungan
semaksima mungkin dalam segala perancangan. Sistem Islam pula tidak meletakkan untung
rugi sebagai hal yang utama, tetapi mementingkan etika dan kepuasan kedua-dua belah
pihak (penjual dan pembeli).
Saya
rincikan lagi, iaitu tentang sebuah konsep dalam muamalat konvensional yang sekian
lama menjalankan penipuan besar ke atas manusiawi seluruhnya – riba. Betapa rapi perancangan yang
dibina oleh sistem barat, sehingga pada hari ini masih ramai yang bermuamalat
dengannya, entahkan sedar, entahkan tidak.
Sudah
jelas hukum riba di dalam al-Quran: Dan Allah telah menghalalkan jual beli dan
mengharamkan Riba (al-Baqarah, 275). Ya, riba hukumnya haram secara pasti!
Lantas,
apa pula mudaratnya? Sekian lama hidup, kita merasa senang dengan sistem
kewangan yang sedia ada sekarang bukan? Sebelum saya berkongsi mudaratnya,
apakah itu riba sebenarnya? Riba menurut mazhab Syafie: Akad yang dimeterai
sebagai pertukaran barang tertentu, tetapi pada ketika akad dimeterai pertukaran
itu tidak diketahui kesamarataannya(1)
menurut ukuran syarak ataupun penyerahan
salah satu atau kedua-dua berangan tersebut dilewatkan(2). (Lihat Mughni al-Muhtaj 2/21)
Saya
berikan contoh berkenaan hal (1) menurut hadis di atas – Pak Ali ingin
menukarkan RM 20 kepada wang dollar (USD) kepunyaan Mrs. Fatimah. Namun, Mrs.
Fatimah memulangkan USD 5 sahaja. Mengikut harga semasa, USD 5 hanyalah RM
15.88 jika ditukarkan. Nah, bukankah berlaku ketidaksamarataan dalam perjanjian
di atas?
Saya
berikan contoh mudah berkenaan hal (2) menurut hadis di atas – Cik Fatimah
membeli emas daripada Pak Ali. Pak Ali meminta bayaran terlebih dahulu sebelum
diserahkan kerana emas tersebut tertinggal di bawah bantalnya. Di sini telah
berlaku kelewatan barang tersebut diberikan sedangkan barang yang lagi satu
(wang) telah pun diserahkan.
Perkara
di atas nampak remeh bukan? Dalam contoh di atas, cuma Pak Ali dan Cik Fatimah
yang dalam berada dalam risiko kerugian. Bagaimana pula jika Mak Maimunah, Pak
Ramli dan Mr. Abu terlibat sama? Bagaimana pula jika satu dunia, manusia
seisinya beramal dengan sistem ini? Jelas. Kita hanya mendapati golongon kaya semakin
‘jutawan’ dan golongan miskin semakin ‘pengemis’.
Tanpa
kita sedari, hari-hari kita diisi dengan harta riba yang sememangnya haram.
Dalam perbankan, pelaburan, pajak gadai, insurans, semuanya diselitkan unsur riba
oleh barat. Atas kesedaran inilah kita harus sehabis sedaya menjauhi riba.
Kita
bukan tiada alternatif kerana Malaysia sudah mula menjalankan urusan muamalat
berlandaskan Islam. Akaun wadi’ah, akaun mudarabah, ar-Rahnu, takaful, semuanya
sudah disaluti dengan nilai Islam yang bebas daripada riba. Kita sebenarnya
rugi kerana kebanyakan mereka yang menggunakan sistem muamalat Islam ini adalah
dalam kalangan Cina dan India. Mereka terlebih dahulu menyedari perihal ini,
maka kita sebagai umat Islam sendiri harus lebih ke hadapan. Jangan biarkan
ekonomi orang Melayu semakin merudum.
Maka,
sekarang merupakan peringkat aplikasi. Perkara pertama yang kita harus lakukan
adalah menukarkan semua kad akaun konvensional kepada kad akaun Islam. Jika
mahu berinsurans, maka lihatlah insurans takaful. Jika mahu bermain saham, maka
carilah, belilah saham yang sudah disahkan halal menurut Islam. Jika mahu
bermain MLM, masuklah mana-mana yang sememangnya bebas daripada riba dan halal.
Kesedaran dalam hal ini merupakan benih kepada pembinaan sebuah cemara yang
utuh dan bermanfaat buat kehidupan kita seluruhnya.
Ilmu harus dimudiki dari
hilir ke hulu. Diminum air sungai yang bersih dan ditapis mana-mana yang keruh.
