Friday, 20 July 2012

PERMAINAN RIBA: DURI DALAM DAGING


PERMAINAN RIBA: DURI DALAM DAGING

HAMPIR tiga dekad; baru kini timbul kesedaran peri penting muamalat konsep Islami buat saya. Tidak dinafikan sistem muamalat konvensional dari barat begitu teratur dan mudah jika dipandang pada luaran. Nah, mengapa perlu kita ubah sistem sedia ada sedangkan kita memang sudah sekian lama hidup damai bercinta dengan sistem muamalat konvensional kini?
Muamalat punyai makna yang besar. Segala perkara yang tergolong dalam bidang kemasyarakatan adalah muamalat – prpm.dbp.gov.my. Dan perkongsian dalam makalah ini saya khususkan kepada muamalat maliyyah, iaitu pengurusan harta sesama manusia. Maka, segala hal berkaitan perbankan, perniagaan, saham dan insurans adalah antara contoh muamalat maliyyah. Terlupa pula, MLM dan FOREX tidak terkecuali ya.
Dalam muamalat, kita disajikan dengan urusan kewangan bersifat konvensional dan Islam. Harus diketahui bahawa kedua-dua sistem ini tidak pernah sejalan antara mereka. Sistem konvensional secara dasar hanya memikirkan dapatan keuntungan semaksima mungkin dalam segala perancangan. Sistem Islam pula tidak meletakkan untung rugi sebagai hal yang utama, tetapi mementingkan etika dan kepuasan kedua-dua belah pihak (penjual dan pembeli).
Saya rincikan lagi, iaitu tentang sebuah konsep dalam muamalat konvensional yang sekian lama menjalankan penipuan besar ke atas manusiawi seluruhnya – riba. Betapa rapi perancangan yang dibina oleh sistem barat, sehingga pada hari ini masih ramai yang bermuamalat dengannya, entahkan sedar, entahkan tidak.
Sudah jelas hukum riba di dalam al-Quran: Dan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan Riba (al-Baqarah, 275). Ya, riba hukumnya haram secara pasti!
Lantas, apa pula mudaratnya? Sekian lama hidup, kita merasa senang dengan sistem kewangan yang sedia ada sekarang bukan? Sebelum saya berkongsi mudaratnya, apakah itu riba sebenarnya? Riba menurut mazhab Syafie: Akad yang dimeterai sebagai pertukaran barang tertentu, tetapi pada ketika akad dimeterai pertukaran itu tidak diketahui kesamarataannya(1) menurut ukuran syarak ataupun penyerahan salah satu atau kedua-dua berangan tersebut dilewatkan(2). (Lihat Mughni al-Muhtaj 2/21)
Saya berikan contoh berkenaan hal (1) menurut hadis di atas – Pak Ali ingin menukarkan RM 20 kepada wang dollar (USD) kepunyaan Mrs. Fatimah. Namun, Mrs. Fatimah memulangkan USD 5 sahaja. Mengikut harga semasa, USD 5 hanyalah RM 15.88 jika ditukarkan. Nah, bukankah berlaku ketidaksamarataan dalam perjanjian di atas?
Saya berikan contoh mudah berkenaan hal (2) menurut hadis di atas – Cik Fatimah membeli emas daripada Pak Ali. Pak Ali meminta bayaran terlebih dahulu sebelum diserahkan kerana emas tersebut tertinggal di bawah bantalnya. Di sini telah berlaku kelewatan barang tersebut diberikan sedangkan barang yang lagi satu (wang) telah pun diserahkan.
Perkara di atas nampak remeh bukan? Dalam contoh di atas, cuma Pak Ali dan Cik Fatimah yang dalam berada dalam risiko kerugian. Bagaimana pula jika Mak Maimunah, Pak Ramli dan Mr. Abu terlibat sama? Bagaimana pula jika satu dunia, manusia seisinya beramal dengan sistem ini? Jelas. Kita hanya mendapati golongon kaya semakin ‘jutawan’ dan golongan miskin semakin ‘pengemis’.
Tanpa kita sedari, hari-hari kita diisi dengan harta riba yang sememangnya haram. Dalam perbankan, pelaburan, pajak gadai, insurans, semuanya diselitkan unsur riba oleh barat. Atas kesedaran inilah kita harus sehabis sedaya menjauhi riba.
Kita bukan tiada alternatif kerana Malaysia sudah mula menjalankan urusan muamalat berlandaskan Islam. Akaun wadi’ah, akaun mudarabah, ar-Rahnu, takaful, semuanya sudah disaluti dengan nilai Islam yang bebas daripada riba. Kita sebenarnya rugi kerana kebanyakan mereka yang menggunakan sistem muamalat Islam ini adalah dalam kalangan Cina dan India. Mereka terlebih dahulu menyedari perihal ini, maka kita sebagai umat Islam sendiri harus lebih ke hadapan. Jangan biarkan ekonomi orang Melayu semakin merudum.
Maka, sekarang merupakan peringkat aplikasi. Perkara pertama yang kita harus lakukan adalah menukarkan semua kad akaun konvensional kepada kad akaun Islam. Jika mahu berinsurans, maka lihatlah insurans takaful. Jika mahu bermain saham, maka carilah, belilah saham yang sudah disahkan halal menurut Islam. Jika mahu bermain MLM, masuklah mana-mana yang sememangnya bebas daripada riba dan halal. Kesedaran dalam hal ini merupakan benih kepada pembinaan sebuah cemara yang utuh dan bermanfaat buat kehidupan kita seluruhnya.  
Ilmu harus dimudiki dari hilir ke hulu. Diminum air sungai yang bersih dan ditapis mana-mana yang keruh.